top of page

"Saya bukan zalim tetapi keputusan mesti dibuat" - PM

Updated: May 27, 2021


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2021, malam ini.


Johor Bahru, 12 Mei 2021 - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bukanlah satu keputusan yang popular, malah kerajaan bukan bertindak zalim apatah lagi ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok.


Perdana Menteri menyifatkan keputusan melaksanakan PKP kali ini bukanlah perkara main-main sebaliknya ia adalah satu keputusan yang sukar tetapi mesti dibuat.


"Saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara saudari. Akhirnya, habis sahaja kita merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif Covid-19 di negara kita berkemungkinan melonjak ke puluhan ribu sehari," katanya dalam Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri, malam ini.


Muhyiddin berkata, situasi Covid-19 di negara ini dengan mencatatkan trend peningkatan kes yang mendadak sejak beberapa minggu lalu dan lebih membimbangkan terdapat varian-varian baharu yang lebih ganas, bukanlah satu perkara main-main.


Maka, kata Perdana Menteri, keputusan sukar itu mesti dibuat walaupun tidak popular dan mungkin tidak memuaskan hati semua pihak.


Namun, pada hemat beliau, ia satu keputusan tepat yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan semua.


“Saya bukan nak mengatakan dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan ini memberi 100 peratus jaminan bahawa angka-angka Covid-19 di negara kita tidak akan meningkat. Tidak.


“Sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana kita semua patuh kepada SOP yang ditetapkan. Ia bergantung kepada disiplin kendiri kita masing-masing. Sejauh mana kita berdisiplin dan beristiqamah dalam melawan virus ini,” katanya.


Dalam hal ini, Perdana Menteri merayu kepada seluruh rakyat untuk meningkatkan disiplin diri, patuhilah SOP pada setiap masa, duduklah di rumah kerana wabak Covid-19 akan menjadi lemah jika rantaiannya dapat diputuskan.


Untuk meningkat lagi keberkesanan tindakan kesihatan awam dalam memerangi Covid-19, ujar beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia akan meningkatkan ujian saringan dan melaksanakan pengesanan kontak yang lebih meluas dalam tempoh PKP ini.


Pada masa sama, Perdana Menteri berkeyakinan kita boleh berjaya melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 sebagaimana dalam gelombang pertama dan mampu mengurangkan angka-angka jangkitan dalam gelombang kedua.




Comments


Post: Blog2_Post

Subscribe Form

Thanks for submitting!

0101010101

  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2021 by TRI: The Ripple Impact. Proudly created with Wix.com

bottom of page